Gentian optik
Oleh Afiq Hanif
Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya
KEUPAYAAN sistem komunikasi terkini dan canggih adalah
kunci utama yang mampu menjadi daya penggerak kepada pertumbuhan
ekonomi negara dalam usaha menuju era negara maju berasaskan teknologi
maklumat serta komunikasi (ICT).
KEUPAYAAN sistem komunikasi terkini dan canggih adalah kunci utama
yang mampu menjadi daya penggerak kepada pertumbuhan ekonomi negara
dalam usaha menuju era negara maju berasaskan teknologi maklumat serta
komunikasi (ICT).
Malah, keperluan manusia berkomunikasi tanpa
mengira batas waktu dan sempadan negara menyebabkan sistem komunikasi
baru perlu terus diterokai.
Ditambah pula sasaran kadar penebusan jalur lebar di kalangan
isi rumah di Malaysia kepada 50 peratus pada 2010 di negara ini
dijangka meningkat ketika masyarakat menikmati kemudahan terbabit
selepas 51 tahun merdeka.
Justeru, penyambungan kabel
menggunakan sistem gentian optik dilihat kesinambungan dalam teknologi
komunikasi apabila ia mampu membantu kabel tembaga sedia ada bagi
memberikan prasarana yang lebih efektif terutama di negara ini.
Gentian optik dibuat daripada benang kaca halus yang digunakan bagi
menyalur cahaya digunakan dalam kebanyakan sistem komunikasi terutama
di negara Asia maju seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Jepun
memandangkan keupayaannya menyalurkan data lebih jitu berbanding kabel
tembaga.
Ia menjadi perantara bagi telekomunikasi kerana
bersifat mudah lentur dan boleh diikat sebagai kabel walaupun dibuat
daripada plastik lut sinar atau kaca.
Cahaya dipancarkan
melalui gentian yang disimpan di dalamnya disebabkan pantulan penuh
bahan terbabit menjadi ciri penting dalam menyingkirkan isyarat
bersilang antara optik dalam kabel seterusnya membenarkan pemasangan
kabel dengan kaedah pusingan.
Sistem optik bertindak sebagai
pemandu gelombang ini memiliki dua mod pengaliran iaitu mod tunggal
menghasilkan prestasi yang tinggi berbanding mod pelbagai membolehkan
cahaya dipancarkan dalam mod berlainan tiba pada masa berbeza.
Kabel gentian optik mampu membawa sehingga seribu optik dalam satu
kabel bagi menjana prestasi unggul yang mampu memenuhi permintaan untuk
jalur lebar berdasarkan pada hujung-ke-hujung dengan mudah.
Pemasangan kabel gentian optik mendapat sambutan menggalakkan
membolehkan masyarakat dunia kini bercakap mengenai Gentian ke Rumah
(FTTH).
Jika dilihat dari sudut sejarah, penciptaan optik fiber
yang pertama direka pada tahun 1970 oleh penyelidik syarikat pembuat
kaca Amerika Corning Glass Works iaitu Maurer, Keck, Schultz dan Zimar.
Perbualan mengenai FTTH di peringkat antarabangsa semakin mendapat
perhatian memandangkan ia berupaya menghantar lebar lajur tinggi dengan
jarak lebih jauh.
FTTH mampu merapatkan jurang rangkaian untuk
meningkatkan produktiviti, membentuk kehidupan keluarga yang baru dan
selesa, penggunaan tenaga yang bijak dan memberi kemudahan komunikasi
tanpa batas.
Presiden dan Pengurus Negara Ericsson Malaysia Sdn
Bhd, Krishna Kumar, berkata FTTH memenuhi keperluan pelanggan
memandangkan ia mampu menawarkan faedah jangka panjang yang baik untuk
penduduk di negara ini.
“FTTH memberikan kos yang baik terutama
kepada syarikat telekomunikasi dalam menawarkan harga lebih baik kepada
pengguna di samping memberikan perkhidmatan sempurna dalam laluan
data,” katanya.
Beliau berkata, suasana akan berubah sebaik
FTTH dilaksanakan yang mana pembekal kandungan akan lebih bebas
memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.
"Teknologi FTTH akan
meningkatkan lebar jalur dan dalam masa yang sama mengurangkan kos
keseluruhan menyediakan jalur lebar ke setiap rumah," katanya.
Beliau berkata, terdapat permintaan tinggi terhadap jalur lebar
bergerak dan tetap dalam negara dan cabaran sebenarnya ialah memenuhi
permintaan dan menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi
pada harga mampu milik di kalangan pengguna.
Sementara itu,
Ahli Lembaga Majlis FTTH Asia Pasifik, Colin Goodwin, memaklumkan
teknologi terbabit berkeupayaan untuk menyediakan kelajuan daripada 100
megabit sesaat kepada setiap pengguna.
Beliau berkata,
teknologi FTTH yang dibangunkan Ericsson membabitkan Rangkaian Optik
Pasif Gigabit (GPON) kini menjadi popular di kalangan operator
telekomunikasi seluruh dunia.
“Ia bukan sekadar berkaitan
internet tapi keperluan lain seperti televisyen internet protokol
(IPTV) yang memungkinkan kandungan menjadi lebih meluas,” katanya.
Menurutnya, cabaran yang dihadapi kini terletak kepada pertimbangan
polisi setiap kerajaan di dunia sama ada mahukan FTTH dilaksanakan
sebagai era baru dalam bidang komunikasi.
“Ia juga bukan boleh
dipasang dengan pantas kerana memerlukan perhatian lain seperti keadaan
geografi atau perancangan dalam sesuatu kawasan,” kata Colin.
Capaian jalur lebar di Malaysia dijangka akan meningkat dengan
teknologi FTTH dalam memacu negara untuk mendapat akses multimedia
lebih pantas sama ada di rumah atau tempat kerja.
Kebaikan
utama teknologi FTTH termasuk membenarkan Internet diakses dengan
kelajuan optikal manakala kos operasinya lebih murah selain capaian
terbaik dan selamat.
Terdapat fakta menyatakan gentian melalui
FTTH adalah teknologi masa depan yang mempunyai jangka hayat sehingga
100 tahun selain kapasiti tanpa had.
Landskap jalur lebar
berubah pantas selari peningkatan aplikasi lebar jalur tinggi seperti
rakaman video secara langsung, karaoke `online', `webcast', permainan
online dan `podcast'.
Permintaan seperti ini meningkatkan
permintaan lebar jalur lebih tinggi kerana pengguna mahu fail
multimedia lebih berkualiti dan muat turun pantas.
Kebanyakan
pengguna mula mencari teknologi baru yang mampu menggantikan penggunaan
tembaga sedia ada kerana ia mempunyai kapasiti terhad untuk membawa
aplikasi lebar jalur tinggi.
Teknologi gentian turut
membolehkan penggunaan aplikasi perkhidmatan video kualiti tinggi
seperti televisyen definisi tinggi dan telefoni video menjadi pantas.
Bayangkan teknologi gentian membolehkan muat turun filem berkualiti
tinggi dengan fail sebesar 30 gigabait mampu dilakukan dalam masa 40
minit berbanding lapan jam sebelum ini menggunakan teknologi diperbuat
daripada tembaga.
|