|
GAZA: Air mata yang tumpah di pipi seorang wanita tua menceritakan
detik ngeri dilalui selepas menyaksikan 29 ahli keluarganya ditangkap
tentera Israel dan dikurung di sebuah rumah sebelum diletup menggunakan
sekurang-kurangnya 10 butir bom C4.
Taktik pembunuhan kejam itu menyebabkan semua mangsa hancur berkecai menjadi serpihan kecil umpama pasir halus.
Malah, tiga bayi yang tidak berdosa turut maut di dalam kejadian
terbabit yang dianggap antara tragedi paling menyayat hati sepanjang
serangan tentera Yahudi selama 22 hari.
Waris keluarga
berkenaan, Sabah Hamdi Samouni, 52, berkata dalam kejadian jam 3 pagi,
5 Januari lalu, keluarganya diserang terlebih dulu oleh gerombolan
tentera Israel yang memasuki kampung itu menggunakan puluhan kereta
kebal.
Kebanyakan mangsa yang ketika itu tidur di dalam sebuah rumah
berhampiran kampung South Zaitun, Gaza, diseret keluar dari rumah oleh
tentera Yahudi yang lengkap bersenjatakan rifel M16.
“Yang saya tahu, semua ahli keluarga tiga generasi saya, termasuk
bapa, Samouni Maamod, 80, diheret sebelum diikat dan dikurung di sebuah
rumah penduduk yang terletak 200 meter dari tepi jalan raya.
“Malah, tiga bayi turut dijadikan tawanan di dalam rumah berkenaan
walaupun mereka terlalu kecil untuk memahami apa yang berlaku,” katanya
sebak.
Menurutnya, semua ahli keluarganya dikurung selama empat
hari dalam keadaan kelaparan tanpa diberi setitis air minuman dan
makanan.
“Tentera Israel kemudian memasang bom jangka C4 di
sekeliling rumah itu sebelum meletupkannya. Saya yang berniat melawat
anggota keluarga di situ hanya mampu melihat sisa tinggalan tulang dan
cebisan daging keluarga saya yang berkecai sebaik tiba ke kawasan itu.
“Malah, rumah keluarga kami turut dimusnahkan dengan roket dari jet
pejuang F16 Israel. Mereka bukan askar dan hanyalah petani... apa dosa
mereka dibunuh?” katanya sambil meratap penuh hiba.
Sementara
itu, seorang lagi penduduk, Faris Hamdan Mahmud, 65, hanya mampu
menggeleng kepala sambil melihat ke arah rumahnya yang sengaja
diranapkan oleh tentera Yahudi.
Menurutnya, tentera Israel
sengaja bertindak kejam apabila merempuh rumahnya dengan kereta kebal
dari bahagian belakang hingga ke depan berulang kali.
“Saya sempat menyelamatkan cucu, Arafah, 7, sebelum bersembunyi di bawah pokok zaitun.
“Kereta kebal Zionis itu sengaja melenyek rumah saya berulang kali
sebelum melakukan perkara sama terhadap masjid yang terletak
berhampiran rumah saya,” katanya dalam keadaan masih kebingungan.
Tinjauan mendapati lebih 100 rumah penduduk sengaja dibom, dirobohkan
dengan kereta kebal serta dibedil dengan roket bagi memastikan kawasan
seluas 50 ekar itu menjadi padang jarak padang terkukur.
Malah,
ladang ternakan ayam yang menjadi sumber makanan rakyat Palestin turut
dimusnahkan, menyebabkan lebih 300,000 ayam mati begitu saja.
Sumber : http://www.hmetro.com.my/Sunday/Mutakhir/20090125085626/Article/index_html
|