|
SERIAN 11 Ogos – Mulai September ini, orang ramai boleh bertukar
pengendali rangkaian telefon mudah alih masing-masing pada bila-bila
masa tanpa perlu menukar nombor sedia ada.
Dengan dasar baru itu, pelanggan Maxis, misalnya, boleh terus
menggunakan nombor lama Maxis mereka walaupun telah bertukar kepada
perkhidmatan Celcom. Begitu juga sebaliknya.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor
berkata, buat permulaan perkhidmatan portabiliti nombor mudah alih
(MNP) itu akan dilaksanakan di kawasan Lembah Klang selama sebulan.
Beliau berkata, sekiranya berjalan lancar, sistem MNP itu akan diperluaskan ke seluruh negara mulai Oktober.
“Industri telekomunikasi akan menentukan kadar caj untuk menggunakan
perkhidmatan MNP tetapi kerajaan tetapkan caj siling RM25, tidak boleh
lebih daripada itu,” kata Shaziman.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat
Internet Desa dan Sekolah Rendah Kampung Grogok di Bau serta
Perpustakaan Jalur Lebar Desa, Kampung Tebakang, Serian di sini hari
ini.
MNP pada dasarnya membolehkan pengguna bertukar pengendali rangkaian
tanpa perlu menukar nombor telefon mudah alih yang mereka gunakan.
Dalam perkembangan lain, Shaziman berharap syarikat telekomunikasi
akan menukar struktur menara telekomunikasi di bandar-bandar besar
seperti di Ipoh dan Johor Bahru daripada keluli kepada fiber.
“Menara komunikasi sedia ada harus ditukar kepada bentuk yang lebih
komprehensif menggunakan fiber supaya tidak menjejaskan pemandangan,’’
katanya.
|